Daulah Melayuwiyah
Kota Setar, Kedah - Rabu Oktober 30, 2020
Hukum Kanun Kedah

Sistem Pemerintahan Kerajaan Melayu dalam Hukum Kanun Kedah

Manuskrip Hukum Kanun Kedah yang juga dikenali sebagai Undang-undang Kedah, merupakan tinggalan warisan sejarah alam Melayu yang penting. Manuskrip ini mempunyai 10 versi dari sumbar yang berbeza-beza, tetapi isinya merujuk kepada undang-undang yang sama. Manuskrip ini adalah bukti pentadbiran di negeri-negeri Islam berdasarkan syiar Islam.

Tarikh terawal undang-undang ini mula ditulis (penguatkuasaan seawal zaman Kesultanan melaka) ialah pada tahun 17 Jun 1650 masihi ketika zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin Muhammad Shah yang bersemayam di Kota Naga, Kubang Pasu berdasarkan petikan "Pada tarikh seribu enam puluh tahun, tahun Zai, pada tujuh belas hari bulan Jamadilakhir, hari Jumaat, bahawa pada ketika itu maka adalah dititah Syah Alam Yang Maha Mulia terjunjung ke atas jemala paduka raja suruh salin ambil taruh undang-undang perbuatan Datuk Besar di Hulu, alaihi rahmatullah supaya sudahlah tahu hukum sedikit-sedikit. Tarikh akhir penambahan dalam Hukum Kanun Kedah yang diketahui adalah pada tahun 1807 masihi berdasarkan petikan "Maka pada zaman Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah ibni Sultan Abdullah Mukaram Syah naik kerajaan pada tarikh seribu dua ratus dua puluh dua tahun, tahun Alif, dilebihkan tinggi bunga emas dan bunga perak sebab baginda sampai sendiri mengadap raja maha besar ke benua Siam".

Manuskrip ini turut memberi maklumat tentang adat raja-raja, gelaran, kedudukan raja-raja di Balai Istana dan pembesar serta gelaran yang lain yang bersangkutan dengan penguatkuasaan undang-undang. Berikut adalah fasal keturunan gelar itu dibahagi daripada nama raja raja itu, dibahagikan, pertama, Paduka; kedua, Maha; ketiga, Seri; keempat, Raja; kelima, Tun; keenam, Sang. Tuha itu nama Paduka Maha Menteri iaitu penghulu hakim dengan bawahnya ada Menteri Tuha (hakim-hakim) yang memakai gelaran Seri Paduka Tuan. Datuk bendahara itu digelar Paduka Seri Perdana Menteri Mangkubumi. Jika ada hendak dijadikan dua maka bergelar Datuk Paduka Seri Maharaja dan yang satu lagi Datuk Bendahara Muda. Pada adat raja-raja di benua Siam gelar demikian itu bahasa Siam Chao Phaya Kersan. Kepala bagi segala tun digelar Tun Pekerma Dewa.

Apabila dilihat secara keseluruhannya, kita dapati beberapa fasal yang menyebut undang-undang ini ditulis berdasarkan pada zaman kesultanan yang tertentu melibatkan Kedah, Melaka, Johor dan Aceh yang memakai gelaran Yang Di Pertuan Yang maha Mulia kemudian diselang-seli dengan ganti panggilan Maulana Syah Alam yang Maha Mulia. Gelaran Yang Di-Pertuan ini adalah gelaran bagi Khilafah di alam Melayu yang mana satu raja dibay'ah oleh banyak raja-raja dari banyak negeri-negeri.

Undang-undang Maritim

Undang-undang perkapalan dalam Hukum Kanun Kedah ini ditulis untuk pekerjaan Syahbandar dan Laksamana

Walaupun pelabuhan Kedah menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang dikunjungi oleh pedagang dari benua Eropah, India, China dan lain-lain, namun hal ini tidak menghalang rajanya mengisytiharkan Kedah sebagai sebuah negeri Islam. Dalam teks yang dikaji, terdapat penyataan bahawa undang-undang yang disuruh buat oleh raja adalah untuk negeri Islam.

syahdan adalah dibicarakan Syah Alam Yang Maha Mulia dan Yang Dipertuan Yang Maha Mulia menyuruh perbuat undang-undang bandar kepada datuk-datuk yang tersebut itu supaya tetap adat bandar dan pekerjaan syahbandar di dalam negeri Islam

Gambaran kapal Jong mendekati pelabuhan.

Undang-undang maritim ini dipercayai digunapakai di pelabuhan lama Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Muda dan Ujung Salang yang juga dikenali sebagai Pelabuhan Junk Ceylon yang mana Belanda turut membuka kilang dan lojinya di sana.

Di dalam undang-undang maritim ini, dijelaskan fungsi Syahbandar kuala, Syahbandar darat, panglima kuala dan panglima darat yang memakai gelaran Laksamana. Sistem ini menjadi standard dalam sistem pentadbiran kerajaan di alam Melayu. Catatannya seperti berikut, inilah perkenaan undang-undang pada zaman Raja Setia Bijaya namanya dan Raja Jalil Putera jadi syahbandar. Muafakatlah Datuk Besar dengan Orang Kaya Maharaja Indera dan Orang Kaya Seri Maharaja Khana-khana dan segala pegawai. Masa itu panglima bandar Datuk Laksamana Cik Syahadin.

Benua Siam Ayuthia turut menggunakan peranan Syahbandar untuk kesemua pelabuhan utamanya termasuk di Ligor dan Bangkok sejak dari zaman pemerintahaan Raja Narai berdasarkan surat menyurat yang sangat banyak di antara VOC Belanda dan Chao Phaya Pakelang yang diarkibkan di Indonesia. Surat menyurat dan surat perjanjian adalah transaksi sejarah yang mampu menyangkal kesemua yang bersalahan dalam hikayat dan hujah sejarawan bangsa asing. Ini bermakna, Benua Siam Di sini ditekankan sejarah Melayu itu tidak boleh disempadankan begitu sempit sehingga sempadan selepas kejatuhan Benua Siam pada 1769 dan perjanjian Thai-British 1904 itu, pemerintah itu adalah Government dan kerajaan itu adalah Kingdom yang wujud pada masa dan zaman yang berbeza.

Sistem timbangan dan Matawang

Unit Timbangan dalam Hukum Kanun Kedah

Dalam teks Undang-undang Pelabuhan Kedah yang dikaji terdapat juga penggunaan beberapa aspek budaya perdagangan dan perniagaan Melayu yang berasaskan Islam. Hal ini jelas termaktub dalam fasal yang mengandungi mafhum ayat al-Quran seperti berikut:

"Hendaklah sempurna oleh kamu segala sukatan dan timbangan segala ia isi negeri kamu."

Penggunaan ayat al-Quran dalam Undang-undang Pelabuhan Kedah ini dengan jelas menunjukkan bahawa budaya perdagangan dan perniagaan Melayu yang berasaskan Islam sudah wujud dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Hukum Kanun Kedah banyak menyatakan bayaran dalam urusan Syahbandar dan hukuman denda dalam unit timbangan dan matawang. Antaranya yang kerap kali disebut adalah paha, tera, mas dan tahil. Unit ini juga turut sama diguna pakai dalam perdagangan antara Benua Siam Ayuthia dan VOC Belanda. Di dalam sepucuk surat daripada VOC Belanda kepada Paduka Chao Phaya Pakelang yang bertarikh 20 Ogos 1764, ia menyebut,

Sahabat bersahabat dengan terusan terpelihara hingga sekarang ini antara kedua pihak hazrat Paduka Seri Sultan (Ekhataat) dan kompeni Wilandawi Yang Mulia maka Paduka Chao Phaya Pakelang pada akhir tukar menukar beberapa perkataan telah sudah terbujuk pada orang kelang pada hal melakukan diketuan pada empat puluh mas dan rial pada lima puluh atau lima puluh mas sekati perak demikian lagi yang orang kelang itu sudah menerima kembalikan kepada kompeni empat puluh kati perak yang telah diambilnya dengan tiada patut.

"Gambaran kapal perdagangan"

Surat di atas membawa maksud VOC Belanda yang telah bersetuju memulangkan lebihan wang kepada kilang tekstil di Benua Siam yang mana pada masa itu industri tekstil adalah antara industri yang terpenting. VOC Belanda pada masa itu telah membekalkan kain dan benang serta memasarkan secara ekslusif ke pasaran Jepun dan Eropah.

Hukum Kanun Melaka

Sultan Mahmud Syah Khalifatul Mukminin

Mungkin ada yang tidak sedar akan wujudnya sistem khilafah di alam Melayu. Dalam konsep khilafah, hanya seorang sahaja raja dari kalangan raja-raja di negeri-negeri Islam dibay'ah sebagai ketua tertinggi dalam segala negeri-negeri yang dipertanggungjawabkan bagi menegakkan syiar islam. Negeri-negeri mana yang dimaksudkan adalah negeri-negeri takluknya dan negeri-negeri yang mana raja-rajanya yang telah membay'ah.Persoalannya, siapakah yang pernah dilantik menjadi Khilafah di Alam Melayu dan apakah gelarannya?

Qanun Melaka yang disimpan di Perpustakaan Nasional Perancis, berkemungkinan di bawa dari Portugal dan dirampas oleh Perancis selepas portugis tewas dalam perang Napoleon. Petikan pengenalan dalam dokumen ini seperti berikut:

Bahawa inilah risalah ertinya kitab pada menyatakan kanun yaitu pada segala negeri yang besar besar [banyak negeri yang besar] dan pada segala raja raja [banyak raja] dan wazin [timbangan] dan adat dan dusun [kebun, ladang] supaya manafat atas segala negeri negeri [banyak negeri] dan raja-raja [banyak raja] maka hendaklah raja-raja itu menjadikan orang besar akan ganti supaya tiada datang masyghul-nya [kedukacitaan-nya] kepadanya adapun pada segala raja raja itu pertama...

Seterusnya kanun melaka ini menyenaraikan senarai pembesar utama dalam jabatan khilafah yang dipertanggungjawabkan dalam memartabatkan daulah islamiyah melayuwiyah yang juga dipertanggung jawabkan kepada bendahara [perdana menteri/mangkubumi] dengan ayat berikut

adapun hukum yang diserahkan bendahara itu seperti hukum orang berjabatan [muka 1, baris 11]

Seperti hukum kanun Acheh dan UUK, hukum kanun melaka diceritakan asal usulnya melalui ayat berikut pada muka 2 baris ke 7 hingga muka 3 baris 3.

ketahuilah oleh kamu sekalian [rakyat-rakyat di negeri besar-besar] akan adat ini turun temurun pada zaman Soltan Iskandar Zulkarnain yang memerintah segala manusia datang kepada akhir zaman, Soltan Iskandar Syah ialah raja yang pertama masuk negeri Melaka yang bergelar Soltan Muhamad Syah Dha-lillahi-fi-thalam [Parameswara] ialah raja yang pertama masuk agama Islam dan meletakkan hukum dan perintah negeri lalu turun kepada baginda Soltan Muzaffar Syah dan turun kepada baginda Sultan Mansur Syah turun kepada baginda Sultan Aliuddin khaniyat Syah turun kepada putera baginda Sultan Mahmud Syah Khalifatul Mukminin ialah yang mempunyai adat dan hukum perintah datang pada sekarang ini...

Hukum Qanun Melaka

Khalifatul Mukminin ini dinamakan "Yang di Pertuan" berdasarkan ayat berikut pada baris ketiga sebelum masuk Fasal yang ke empat belas pada menyatakan hukum bertuduh-tuduhan dan menyangka-nyangka.

adapun jikalau orang yang berjual kata orang besar besar atau syahbandar dendanya setahil sepaha atau suruh maki dihadapan orang banyak jikalau ia melawan dibunuh kerana orang besar berkata menanggung kerajaan Yang di-Pertuan.

Begitulah akibatnya kalau menjual kata kata orang besar besar. Beringatlah kita, pada zaman moden ini pun janganlah menjual nama moyang-moyang kita walaupun moyang kita pernah duduk di singgahsana.